UNTUK SIARAN SEGERA: JELAJAH BERBASIKAL AMAL “SELANGOR 600” ANJURAN DYTM
RAJA MUDA SELANGOR SELANGOR DAN SELANGOR YOUTH COMMUNITY (SAY) SEMPENA
HARI MALAYSIA 2022
Bestari Jaya, 10 September 2022 – Duli Yang Teramat Mulia (D.Y.T.M.) Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor telah menganjurkan jelajah berbasikal sambil beramal sempena sambutan Hari Malaysia 2022. Program Jelajah Selangor 600 ini telah melalui 9 daerah di Selangor sejauh 600 kilometer bermula pada 6 September 2022 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam dan berakhir di Selangor Fruit Valley, Bestari Jaya hari ini.
Tujuan jelajah berbasikal sambil beramal yang telah dianjurkan sebanyak 2 kali sejak 2020 ini telah diilhamkan oleh DYTM Raja Muda Selangor sebagai salah satu inisiatif baginda untuk mendekati rakyat dan membantu komuniti yang memerlukan melalui penyerahan sumbangan sepanjang 5 hari program ini berlangsung di samping dapat menjelajah secara berbasikal ke tempat-tempat menarik sekitar Selangor. Antara lokasi menarik di sepanjang perjalanan adalah seperti kawasan sawah padi, lokasi bersejarah, kilang kopi Selangor, perkampungan orang asli dan pelbagai lagi.
Jelajah Selangor 600 ini juga berteraskan aspek pembangunan belia dengan mengetengahkan barisan atlet muda yang juga merupakan atlet berbasikal negeri Selangor iaitu Muhamad Qayyim Bin Mohd Saipul Anuwai; Zamirul Azrezza Bin Zulkefli; Muhamad Iqbal bin Zuraini; dan Muhammad Adam Haiqal Bin Mohd Shairul Faizal. Atlet-atlet muda ini telah diiringi oleh Pembantu Jurulatih bahagian Pembangunan Persatuan Berbasikal Negeri Selangor, En. Muhamad Rauf Nur Bin Misbah sepanjang tempoh jelajah.
Di bawah aspek komuniti pula, terdapat lebih 6 buah pusat komuniti yang diberikan bantuan dalam pelbagai bentuk seperti barangan keperluan, set hidroponik, kelengkapan sukan dan juga set komputer sepanjang 5 hari jelajah berbasikal ini berlangsung. Antara pusat kebajikan yang menerima sumbangan adalah Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim Baitul Barokah Wal Mahabbah di Sepang, Asrama Baitul Rahmaniah di Hulu Selangor, Pusat Kebajikan Warga Emas (Cina) dan Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Sabak Bernam, Pertubuhan Kebajikan Ehsan AsShakur dan Pertubuhan Kebajikan Ephrata di Rawang.
Pada hari terakhir Jelajah Selangor 600 bersamaan 10 September 2022, pasukan Jelajah Selangor 600 bersama-sama DYTM Raja Muda Selangor telah berkenan untuk memberikan sumbangan kepada beberapa pertubuhan kebajikan di sekitar Rawang. Antara bantuan yang disampaikan adalah sumbangan wang dan barangan bernilai RM20,000.00 untuk rumah-rumah yang dipilih, tajaan daripada Selangor Youth Community (SAY), Yayasan Raja Muda Selangor dan Worldwide Holdings Berhad.
Galeri Jelajah Selangor 600 boleh didapati di sini: https://tinyurl.com/2022selangor600
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
ENCIK SYAZWAN DAUT
Pegawai Eksekutif Cycling Selangor
Selangor Youth Community (SAY)
syazwan@selangoryouth.com
+6013 610 1013
ENCIK MOHAMAD NOR IMRAN SHAH
Pegawai Eksekutif Khidmat Masyarakat
Selangor Youth Community (SAY)
nor.imran@selangoryouth.com
+6011 6084 8828